Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: MUSUH ISLAM SETUJU DENGAN ISLAM HADHARI?


Member

Status: Offline
Posts: 85
Date:
MUSUH ISLAM SETUJU DENGAN ISLAM HADHARI?


13 09 2007

Sejak bila Bush baca teks Islam Hadhari?

Ali Bukhari Amir

Dalam satu kenyataan, Presiden Amerika Syarikat, George Bush dilaporkan telah memuji pelaksanaan Islam Hadhari. Tidak hanya memuji, malah beliau melihat nilai muatan idea yang amat berharga bagai permata, mutu ratna manikam ini boleh dipunggah sebagai bahan eksport ke peringkat dunia.

Mungkin ia boleh dipanjangkan ke alam semesta kalau jumhur para ulama saintis sedunia berfatwa secara ijmak bahawa memang wujud hidupan lain di galaksi Bima Hadhari yang berminat dengan idea tersebut.

Sebelum itu, Bush dalam suatu acara lain telah berjumpa Presiden Indonesia SBY (Susilo Bambang Yudhoyono), dengan niat mengukuhkan ketenteraan di rantau ini di samping ia bertujuan mengeratkan hubungan diplomasi antara negara di rantau Nusantara.

Antara strategi Bush yang boleh dikatakan sama Jeneral Templer di masa lalu ialah Bush mengambil hati dan memukat kepercayaan Abdullah sepertimana Templer memikat hati Tunku Abdul Rahman. Ini kerana, antara Abdullah dan Tunku memang punya persamaan dari segi sikap dan perwatakan.

Bukanlah rahsia lagi bahawa tokoh intellijen yang pernah bekerja di Malaya dahulu telah membekalkan rahsia dan petua untuk menjajah Malaysia kembali. Saya tidak tahu adakah Abdullah dan Najib selaku Menteri Pertahanan pernah terfikir hal ini atau mereka berfikir tentang komisen 530 juta, Altantuya, EYE di Tasik Titiwangsa dan lain-lain hal remeh.

Jangan hairan apabila Bush memuji ISA. Katakanlah agensi agama negara kita membuat fatwa bahawa judi empat nombor ekor adalah sah, kilang arak tidak perlu diroboh, sudah tentu Bush lihat inilah petanda bahawa Islam Hadhari di Malaysia akan diterima di dunia.

Kekeliruan ini terjadi sebab, dalam jiwa dan pemikiran pengamal media, penguasa negara kita telah tepu dengan kepercayaan bahawa apa yang termuat dalam akal Bush semuanya betul. Ini berlaku di dalam minda bawah sedar pengamal media dan penguasa walaupun minda sedar mereka memusuhi dasar Bush dan Amerika.

Dasar Pandang ke Timur dan Dasar Pandang ke Barat (jikalau ada) amat merbahaya dari suatu segi. Untungnya dasar itu cuma membungkus makna perihal ekonomi dan bukanlah mengusung makna dan wacana mengenai keadilan, kebenaran dan al-Birr itu sendiri.

Dalam suatu ayat al-Quran ada disebut: Bukanlah al-Birr (kebaikan) itu dengan melihat ke Timur dan ke Barat. Tapi, al-Birr (kebaikan) itu ialah kepercayaan kepada Allah

Dalam ayat ini, Tuhan cuma menyebut Timur dan Barat kerana di tempat itu telah terbina dan terbangunnya daulah, negara dan tamadun. Tamadun (hadharah) adalah asas fahaman Islam Hadhari. Di Utara dan Selatan tidak wujud tamadun kerana ia wilayah sejuk berais beku. Yang wujud adalah orang Eskimo, mirip Cina dan memakai baju bulu putih tebal.

Hanya makan minum

Manusia Eskimo tidak membentuk daulah, kesultanan, kerajaan, kebudayaan juga politik yang kuat. Politik bagi mereka hanya makan minum, menombak ikan, beruang putih serta membina iglu tanpa risau memikirkan bayaran ansuran bank untuk membayar kos rumah.

Atau, ditinjau dari segi keilmuan, orang Eskimo tiada kitab-kitab feqah yang ditulis untuk ibadat. Atau, mereka tiada lagi kitab sufi yang dikarang untuk mencegah mereka daripada melakukan rasuah dalam peradaban mereka.

Mungkin juga, kedinginan serta kesejukan telah membunuh keinginan merasuah itu. Atau insan Eskimo tiada jabatan kerajaan di mana para pegawainya mendambakan rasuah guna mengisi kebutuhan harian.

Kembali kepada al-Birr. Dalam ayat al-Quran itu, disebutkan bahawa kebaikan (ataupun keadilan) bermula dari dalam sesebuah peradaban. Rakyat dan pemimpin yang membina peradaban akan merenung ke dalam diri untuk mencari keadilan kebaikan.

Merenung di dalam diri bermodal kepercayaan kepada Allah dan berbekalkan nilai-nilai rohani dalam al-Quran itu menyebabkan peradaban itu berkembang dengan sendirinya.

Orang Arab asalnya bangsa nomad (badawi) yang berpindah randah dan tidak punya hak ke atas tanah dan kedaulatan negara. Asal mula peradaban Islam (Arab) bermula apabila (ibu pertiwi) Siti Hajar dan (perwira) Ismail menemui punca dan sumber air Zam Zam.

Lama kelamaan, berkumpullah suatu masyarakat menetap dan mereka ini tidak lagi hidup berpindah randah. Bermula saat itulah mereka punya kedaulatan terhadap tanah di tempat mereka hidup dan dari situlah bermula kepimpinan ke atas tanah.

Kini, kesedaran untuk memulakan institusi beraja itu mula timbul lalu dibina suatu sistem beraja dari dinasti keluarga Saud. Nama negara itu pun diubah kepada Arab Saudi hingga melupakan dan melupuskan warisan-warisan Arab lain secara tidak sengaja.

Padahal, asal-usulnya bermula daripada gabungan tanah padang pasir (tanah) dengan air zam zam (air) itulah yang menyebabkan wujudnya tanahair atau daulah Arab dan sesuatu yang disebutkan sebagai negara (tanahair) yang melahirkan sesebuah peradaban.

Kembali kepada tajuk asal, iaitu al-Birr. Untuk melahirkan sebuah peradaban, ia mestilah diisikan ilmu pengetahuan guna mencari kebenaran, kebaikan dan keadilan atau apa yang dinamakan sebagai al-Birr itu.

Bangsa Arab terasing daripada pengaruh Rom dan Parsi. Hatta, berhala yang berbaris di Kaabah bukannya dipinjam dari berhala di Rom. Berhala di Kaabah tidak punyai kisah-kisah dramatik sepertimana halnya berhala-berhala Zeus, Hercules, Poseidon di Rom itu.

Sunnah Nabi Ibrahim

Setelah Islam datang, semua patung itu direbahkan sepertimana halnya Nabi Ibrahim a.s merobohkan patung-patung itu. Ini sunnah Nabi Ibrahim yang diikuti penduduk Makkah setelah sinar Islam terpancar memasuki ruang jendela di kota ilmu itu.

Sejak itu, al-Birr (kebaikan) sebagai pakej kebenaran dan keadilan telah diajar, dididik ke atas rakyat dan dikembangkan di serata alam setelah al-Birr itu telah lama menyinari kota Madinah.

Ringkasnya, al-Birr sememangnya wujud di dalam jiwa sanubari insan yang menetap di sebuah negara itu. Fitrah insan yang baik itulah yang menterjemahkan al-Birr (kebenaran dan keadilan) untuk dilaksanakan dalam sesebuah negara dan peradaban atau hadharah.

ISA misalnya, bukanlah terbit daripada kebijaksanaan. Al-Birr, kebenarankeadilan yang dipandu fitrah orang Malaya Merdeka tidak menyetujui ISA. ISA tidak benar, tidak adil. Cahaya al-Birr tidak akan pernah menerangi kegelapan ISA.

Islam Hadhari bukanlah sinaran pancaran al-Birr kerana penggubalnya tidak faham serta tidak patuh terhadap apa-apa yang dicita-citakan Tuhan dalam 10 prinsip Islam Hadhari.

Menghafal 10 prinsip Islam Hadhari bagai seekor burung kakak tua, tidak menghasilkan sebuah negara yang kuat. Burung kakak tua bukanlah pemimpin. Dia hanya watak-watak penghafal dan bukan pengamal. Itu bezanya.

Kilang forum-forum Islam Hadhari yang mencetak ribuan ceramah serata negeri tidaklah bermaksud mengambalikan manusia ke arah Islam yang sebenar melainkan sebuah upaya untuk menyeru manusia (burung kakak tua) ke arah usaha menghafal 10 prinsip itu saja.

Jika rakyat mahu membantu pimpinan itu pun, nescaya pimpinan itu tidak akan memberi laluan untuk rakyat menolong mereka. Kerana rakyat yang ikhlas dan cerdik akan melihat bahawa hukum perundangan zalim yang ada telah bercanggah dengan ruh Islam Hadhari.

Barat tidak menggunakan ISA ke atas rakyatnya di suatu masa dulu. Mereka mengguna ISA ke atas koloni di Malaya dan Palestin. Yakni, British menggunakan akta itu ke atas rakyat koloni dan bukan ke atas rakyatnya sendiri.

Itu sebabnya Amerika meniru ISA. Amerika meniru ISA dengan menggubal Akta Patriot untuk menahan pengganas yang bukan sewarna wajah dengan mereka. Akta itu menahan orang-orang Arab atau mereka yang mempunyai nama-nama mirip Islam.

Akta itu tetap tidak digunakan ke atas rakyat mereka tapi ke atas orang luar yang mencari rezeki di Amerika.

Kebejatan penjajah yang diwarisi dengan kebodohan oleh penguasa akan ditiru Amerika dengan licik dan bijaksana. Ia tetap tidak digunakan ke atas rakyat mereka, malahan ia digunakan ke atas orang Islam yang disyaki terkait dengan keganasan yang asalnya telah dicetuskan oleh Amerika sendiri.

Inilah kaedah Amerika yang akan terus memuji Malaysia melalui gagasan Islam Hadhari di mana penggubalnya tidak akan membatalkan ISA dan lain-lain perundangan zalim.

Amerika, Bush, Neocon dan kuncu-kuncunya tidak akan pernah membaca Islam Hadhari. Untuk apa? Bible sendiri pun Bush tidak baca, fahan dan hadam. Kalau tidak, sudah pasti Bush menghentikan serangannya ke atas Iraq dan memanggil semula tenteranya di sana.

Bush tidak akan protes lagi ke atas Islam Hadhari kerana ia tidaklah menanggalkan jubah kezaliman, walaupun Bush sedar ada rungutan resah yang menuntut kembali penggunaan hukum syariah setelah 5 dekad merdeka. Bush sedar Abdullah dan kabinetnya tidak akan cenderung ke arah itu.

Ini kerana, ruh dan semangat syariah adalah keadilan. ISA, Auku, Akta mesin cetak tidak pernah wujud di zaman Rasulullah. Kalau ada pun, tentulah Rasulullah dan para sahabat akan membantah sekeras-kerasnya kewujudan akta tersebut. Ini yang Abdullah rungsing.

Jika rakyat sedar hakikat keadilan syariah, tentulah rakyat akan menolak undang-undang baru tinggalan penjajah atau tinggalan pemerintah Malaysia yang berwatak penjajah. Ini yang perlu kita faham. Iaitu, dalam hati pemimpin telah terbenam azam dan sumpah baru untuk membela ISA, Auku dan lain-lain perundangan zalim.

Pengamal ilmu hitam

Kasih sayang mereka terhadap penjajah dan undang-undang warisan penjajah tetap ada. Di lidah kata benci, di hati tetap setia. Penjajah bagaikan saka yang dimiliki pengamal ilmu hitam. Untuk membuang saka, penguasa berasa sedih pilu untuk berpisah dengan saka ini. Mereka terpaksa berjihad dan berperang habis-habisan dengan ilmu dan iman.

Ini menyebabkan saya yakin bahawa Islam Hadhari tidak akan menanggalkan Common Law. Adakah idea itu datang daripada Abdullah? Abdullah dalam suatu kenyataan pernah menyebut bahawa usaha menggantikan undang-undang itu dengan syariah perlu diteliti. Padahal Abdullah lulusan agama Universiti Malaya.

Atau, dia mungkin tergugat dengan kenyataan Gerakan di mana parti itu mendesak agar Common Law dikekalkan. Suara Gerakan bukan seorang malah ia mewakili pandangan Cina, India, bukan Melayu, bukan Islam malah mewakili Melayu Islam Liberal Sekular.

Semua ini berlaku kerana ada fikiran yang bertapak di dada pemimpin dan rakyat bahawa kebaikan (al-Birr) ada di Barat di Timur dan bukan ada dalam jiwa diri tamadun di mana al-Quran (kalam Tuhan) itulah sumber hikmah, al-Birr yang lama terpasak di jiwa kita.

Dengan keyakinan dan iman bahawa al-Birr berada di Timur dan Barat, maka kita akan terdorong atau didorong secara tidak langsung untuk bertawakal terhadap segala formula pencerahan Barat untuk pengisian pendidikan, ketenteraan dan ekonomi kita.

Dengan bertawakal ke atas semua formula yang dicetak dari kilang PBB ini sebuah dunia Barat akan makin menguatkan hegemoninya hingga kiamat kecuali kita ikhlas mengkaji kelemahan diri dan berusaha memperbaikinya.


__________________
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard